Uggah: Beri penjelasan sebenar berhubung perlantikan pengerusi MPKK

Uggah memberi penjelasan kepada pemberita.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, SEPT 18: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah minta Kerajaan Persekutuan beri penjelasan sebenar berhubung cadangan perlantikan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak.

Ini berikutan penafian Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah dengan kenyataan beliau yang Kerajaan Persekutuan akan membuat lantikan Tuai rumah, Ketua masyarakat dan Ketua kampung di Sarawak.


Beliau dilaporkan berkata demikian oleh media Sarawak dan berita portal pada ucapan di Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak dua hari lepas.

Sivarasa pada kenyataan balas semalam berkata Kerajaan Persekutuan hanya akan melantik pengerusi MPKK bagi setiap kampung dan tidak akan menggantikan Ketua kaum, Tuai rumah sedia ada yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri di bawah Ordinan Ketua Masyarakat 2004.

“Mereka harus memberi penjelasan kepada kita. Kita tidak mahu ada dua Tuai rumah dalam satu rumah panjang, ini akan mengundang huru hara. Perkara ini tidak pernah terjadi dan kita harap ia tak akan terjadi,” katanya.

Uggah berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai Majlis Penyerahan Cek Dana Bantuan UNIFOR Tahun 2019 (Fasa Pertama) di Wisma Bapa Malaysia Hari ini.

Menurut Uggah, MPKK adalah nama lain bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah ditubuhkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar setelah Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

“Ia memainkan peranan yang sama dan juga memiliki struktur yang sama.

“Saya telah membawa perkara ini ke kabinet negeri, keputusannya adalah kita mengekalkan JKKK dan telah dipersetujui oleh mereka (Kerajaan Persekutuan),” kata Uggah.

Selain Uggah, pemimpin-pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain turut segera memberi respon sama, yang Sivarasa anggap kenyataan beliau telah disalah tafsir dan diputarbelit.— DayakDaily