KUCHING, 21 JULAI: Tuan Yang Terutama(TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datin Patinggi Ragad Kurdi Taib hari ini menerima kunjungan hormat daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).
Kunjungan diketuai presidennya, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di kediaman Pehin Sri Taib di Jalan Demak, Bako di sini.
Pada kunjungan tersebut, Juma’ani turut melaporkan perkembangan terkini projek pembangunan Wisma SABATI yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2021 depan.
Projek Wisma SABATI yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini bakal dilengkapi dengan tiga blok utama iaitu dewan serbaguna, pentadbiran dan auditorium.
SABATI ialah sebuah persatuan yang berdaftar bertujuan menjalankan kerja-kerja amal untuk membantu mengurangkan kemiskinan, memberi bantuan kepada warga emas, memajukan pendidikan, kebudayaan, sukan dan agama.
Hadir sama, isteri-isteri Timbalan Ketua Menteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Puan Sri Connie Masing dan Datin Dr Zaliha Abdullah yang juga Setiausaha Kehormat SABATI.—DayakDaily