TYT terima dos kedua vaksin Covid-19

TYT menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di PPV Pusat Perubatan Normah.

KUCHING, 18 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Abdul Taib Mahmud telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Perubatan Normah di sini Sabtu lalu (12 Jun).

Perkara ini telah didedahkan oleh beliau sendiri dalam hantaran di akaun Instagram rasminya malam tadi (17 Jun).

“Alhamdulillah, saya telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 pada Sabtu lalu.

“Seperti orang lain, saya teruja apabila janji temu dos pertama saya dijadualkan pada 17 Mei untuk penerima fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick),” katanya.

Tun Taib turut berkongsi pengalamannya semasa proses vaksinasi termasuk menjalani peringkat pemerhatian selama 30 minit bagi mengesan sebarang kesan sampingan selepas divaksin.


” Semuanya berjalan lancar dan saya tidak mempunyai kesan sampingan yang besar dari dos vaksinasi pertama dan kedua,” katanya.

Dalam hantaran itu, Tun Taib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bekerja keras dalam perjuangan menentang wabak Covid-19 yang semakin rumit.

Beliau turut menyeru rakyat Sarawak untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dalam memastikan semua rakyat di negeri ini diberi vaksin sepenuhnya menjelang Ogos kelak.

“Kita perlu menjaga Sarawak dengan baik dan hanya dengan vaksinasi, kita dapat berjuang dalam memerangi Covid-19,” katanya. — DayakDaily