TYT dan isteri masing-masing derma US$100,000 kepada mangsa gempa bumi Syria dan Turki

Mustapa (kanan) menyampaikan sumbangan gempa bumi di Turki bagi pihak Taib dan Raghad kepada Sinan di Kedutaan Turki, Kuala Lumpur pada 14 Feb, 2023.

KUCHING, 14 Feb: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib masing-masing menderma US$100,000 kepada mangsa gempa bumi di Syria dan Turki.

Menurut satu kenyataan, sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada TYT Sarawak Datu Mustapa Han kepada Timbalan Ketua Misi Turki di Kuala Lumpur, Sinan Cem Bas di Kedutaan Turki dan Charge de ’Affair Syria di Malaysia, Mohd Ghiath Ibrahim di Kedutaan Syria, di Kuala Lumpur hari ini.

Mustapa (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan gempa bumi di Syria bagi pihak Taib dan Raghad kepada Ghiath di Kedutaan Syria, Kuala Lumpur pada 14 Feb, 2023.

Taib dan Raghad turut menyampaikan ucapan takziah kepada kedua-dua negara atas kehilangan ribuan nyawa rakyat termasuk mereka yang masih hilang.

“Bagi pihak rakyat Sarawak, saya ingin memohon rahmat Allah SWT atas kekuatan yang amat diperlukan, bahawa walaupun kami berjauhan secara fizikal, tetapi kami sangat bersatu dalam mendoakan kedua-dua kerajaan dan rakyat anda dalam dugaan ini,” kata Taib.

Beliau turut berharap agar mereka yang masih hilang akan dapat ditemui.

Untuk rekod, dalam gempa bumi pada 6 Februari lepas yang berukuran 7.8 dan 7.5 pada skala Richter masing-masing melanda selatan Turki dan utara Syria, telah memusnahkan beribu rumah termasuk bangunan serta mencederakan puluhan ribu orang.

Dilaporkan bahawa angka kematian di Turki telah mencecah lebih 30,000 manakala di Syria jumlah kematian melebihi 3,000. — DayakDaily