Oleh Chris Bishop
KUCHING, 6 Nov: Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 12 Sept yang lalu.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia adalah antara lima tuntutan yang masih belum dapat diputuskan.
Katanya, ia perlu dirujuk untuk perbincangan Peringkat Tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari negeri Sabah dan Sarawak dari sudut perundangan,” kata Fadillah.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri telah memutuskan kadar pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak RM600 juta diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mulai tahun 2025.
Berhubung 29 tuntutan yang dibincangkan di bawah MTPMA63, Fadillah berkata, sebanyak 11 tuntutan selesai sepenuhnya.
“Sebanyak tujuh tuntutan selesai di bawah kerajaan Madani dan empat tuntutan selesai di bawah kerajaan terdahulu,” kata Fadillah. — DayakDaily