Oleh Chris Bishop
KUCHING, 14 Jun: Tumbukan padu tangan kanan seterusnya menjatuhkan lawan bagi muncul juara Kejohanan Tinju Pakistan merupakan saat paling menggembirakan Daelonial McDelon Bong.
Dikenali dengan jolokan ‘Kilat Boy’, anak kelahiran Sri Aman ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) 10:15 malam ini berkata, beliau memang merasai boleh melakukan pukulan ‘Technical Knock Out’ (TKO) sebaik pertarungan masuk ke pusingan ketiga.
“Saat TKO malam itu adalah yang paling menggembirakan, pukulan tangan kanan saya melemahkan lutut lawan.
“Pada pusingan ketiga saya terus mengasak dan TKO hadir di minit 2’ 48”saat,” katanya yang bertanding di dalam kategori 57 kg.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Lalak Jan turut menampil peserta dari Indonesia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Nigeria.
Menurut McDelon, kemenangan pada malam Sabtu (11 Jun) lepas itu sangat bermakna kerana lawan Sikender Abbasi merupakan seorang peninju ‘superstar’ tuan rumah yang memiliki rekod cemerlang.
Di sepanjang karier, McDelon telah bertarung sebanyak enam kali di arena profesional.
McDelon pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Tinju Zon Borneo 2015, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Jakarta 2016, dan pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Mayor Cup Johor 2018.
Beliau juga menang pingat emas di Kejohanan Tinju Kebangsaan Piala Malaysia Edisi 2019-2021 dan pingat emas di Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan pada tahun ini.
Persatuan Orang Asal Sarawak memberikan sambutan Bujang Berani kepada McDelon di KIA malam ini dan turut dihadiri Presiden Persatuan Tinju Sarawak Dato Rahman Lariwoo.
Hadir sama jaguh bina badan negara Buda Anchah dan Panglima Ribut@Peter John Jaban.
Dalam pada itu, jurulatih tinju yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Sapok Biki ketika ditemui yakin McDelon adalah seorang peninju hebat.
Katanya, Kilat Boy boleh menjadi seorang lagi ‘Sapok Biki’ jika diberi peluang bertarung diperingkat yang lebih tinggi. — DayakDaily