Kilang perabot di Bintawa terbakar

Anggota Bomba berusaha memasuki premis untuk memadam kebakaran.

KUCHING, 14 Jun: Sebuah kilang perabot di Jalan Semangat, Pending Industrial Estate, Bintawa dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada jam 6.05 petang

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibat satu bangunan kilang perabot dan ruang pejabat yang dianggarkan 80 peratus telah musnah terbakar.

“Pasukan Bomba terus menjalankan ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan berjaya membuka struktur jenis zink bagi laluan anggota operasi masuk ke dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, api berjaya dikawal pada jam 6.45 petang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Maklumat daripada orang awam semasa kejadian berlaku, kesemua pekerja kilang tersebut telah pulang kerja,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily