Tukar silinder LPG kuning ke merah, MYGAZ minta kerajaan jelaskan secara terperinci

Chou (duduk dua dari kanan) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 6 Dis: MYGAZ Sdn Bhd meminta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menjelaskan secara terperinci berhubung isu penukaran silinder gas LPG miliknya kepada silinder milik Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Wakil pengedar MYGAZ Sdn Bhd Aaron Chou berkata, arahan kementerian menetapkan satu silinder MYGAZ berwarna kuning boleh ditukar kepada satu silinder Petros berwarna merah.

“Kita mahukan satu arahan jelas samada boleh ditukar 1 kepada 1, 10 kepada 10 atau 500 kepada 500 silinder.


“Maka kita hendak bertanya kepada kementerian atau Petros sebab jika individu membawa 2 silinder, ia tidak dapat ditukar kerana menyalahi arahan iaitu satu kepada satu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi baru-baru ini memberitahu PETROSNiaga Sdn Bhd, anak syarikat milik kerajaan Sarawak yang dikendalikan oleh Petros, akan dilantik sebagai pengedar tunggal bagi lebih 700,000 silinder gas LPG bersubsidi di seluruh Sarawak bermula 1 Disember 2023.

Beliau berkata, pada masa ini, PETROSNiaga memegang 68 peratus pasaran LPG bersubsidi di Sarawak, manakala 32 peratus dipegang oleh MYGAZ.

Namun katanya, kementerian telah memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen LPG bersubsidi bagi MYGAZ yang tamat pada 30 November 2023. — DayakDaily