Tujuh warga asing ditangkap menceroboh dan mencuri di pelantar minyak

Suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.
Advertisement

KUCHING, 21 Mei: Seramai tujuh lelaki warga asing ditangkap kerana disyaki menceroboh dan mencuri barang dari sebuah pelantar minyak di sekitar Perairan Bintulu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata tangkapan dibuat menerusi OP PELANTAR MERAH 1/2022 yang dilancarkan bagi membanteras dan mengekang pencerobohan di pelantar tidak berpenghuni.

Katanya, ketujuh-tujuh lelaki warga asing terbabit ditahan menaiki sebuah kapal nelayan selepas dilihat mencurigakan sekitar jam 10.30 pagi pada hari Khamis lepas.

Advertisement

“Kapal Maritim kemudian bertindak mengejar kapal nelayan tersebut selama dua jam sebelum berjaya memberhentikannya bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh tujuh kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 40 tahun.

“Kesemua kru tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya juga, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kapal juga menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang.

“Antara yang ditemui ialah tali kabel, pakaian coverall, selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan yang disyaki dicuri dari unmanned platform.”

Kesemua suspek dan kapal serta hasil rampasan ditahan dan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, bolehlah dikenakan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Kes turut akan disiasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (AKTA 298) kerana menceroboh pelantar yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan. — DayakDaily

Advertisement