Tujuh stesen minyak di Sarawak dipantau, jualan bahan api luar biasa tinggi

Armizan ketika ditemui di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Sep: Tujuh stesen minyak di Sarawak dipantau Kerajaan kerana didapati mempunyai jumlah jualan bahan api yang amat tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebahagian besar lokasi stesen minyak yang terlibat ini terletak di daerah-daerah sempadan negara.

Advertisement

“Pendekatan tambahan kementerian yang dilaksanakan adalah untuk memantau stesen-stesen minyak yang didapati mempunyai jumlah jualan bahan api yang amat tinggi.

“Strategi khusus untuk mempertingkatkan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui di Karnival KPDN di sini, hari ini.

Tambah Armizan, menerusi Ops Tiris 3.0, kementerian juga mendapatkan kerjasama syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan operasi.

Katanya, ia dilaksanakan dengan mengemukan laporan trend jualan sesebuah stesen minyak pada kadar amat tinggi dan luar biasa.

“Kementerian juga mendapat kerjasama orang ramai dengan membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Dalam isu yang sama, Armizan memaklumkan KPDN telah mengenal pasti 38 buah stesen minyak di seluruh negara yang mencatatkan rekod tertinggi penjualan minyak diesel dan RON95 secara luar biasa.

Sementara itu menerui Ops Tiris 3.0 yang bermula 1 Januari 2024 hingga 19 September 2014 sebanyak 31,762 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,121 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM814 juta.

Seramai 531 individu telah ditangkap dalam tempoh yang sama

“Bagi Sarawak, daripada 2,157 pemeriksaan yang telah dilakukan, sebanyak 151 kes dihasilkan dengan tangkapan 15 orang individu melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20.99 juta,” kata Armizan. — DayakDaily

Advertisement