Tujuh sekeluarga nyaris maut, Toyota Hilux dinaiki terlibat kemalangan

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang cedera.

BINTANGOR, Mac 15: Tujuh sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Skim B di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, kesemua mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan sahaja.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.26 petang.


Katanya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sejurus tiba di tempat kemalangan, pasukan bomba mendapati insiden itu melibatkan sebuah Toyota Hilux dan tiada kenderaan lain terlibat sama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan Toyota Hilux itu terbalik di tepi jalan dan enam penumpang telah keluar daripada kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, seorang lagi penumpang wanita di bahagian tempat duduk belakang dilaporkan mengalami kecederaan parah.

“Pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada petugas hospital untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.15 petang,” katanya lagi. — DayakDaily