Remaja lelaki melecur, gerai jual bahan api terbakar

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di gerai jual bahan api.

SEBUYAU, Mac 15: Seorang remaja lelaki melecur selepas sebuah gerai menjual bahan api di Pekan Sebuyau di sini terbakar dalam satu kejadian petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, remaja lelaki berusia 18 tahun tersebut kira-kira 45 peratus melecur pada anggota badannya.

Komander Operasi Herudin Elhi berkata kebakaran itu melibatkan sebuah gerai jenis struktur kekal di tepi jalan yang musnah terbakar 100 peratus dalam insiden tersebut.


Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar gerai tersebut.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan keadaan terkawal.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang remaja lelaki melecur pada anggota badannya akibat kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Herudin memberitahu, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk tindakan lanjut.

“Operasi pemadaman telah tamat sepenuhnya pada pukul 4.58 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily