Tujuh lelaki positif dadah ditahan dalam Ops Ambang Merdeka 2018

Royal Malaysia Police logo

SERIAN, Ogos 31: Tujuh lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis, berkata kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 15 hingga 25 tahun.

Menurut beliau, seorang suspek berjaya ditahan pada pukul 11.10 malam tadi menerusi sekatan jalan raya sempena Ops Ambang Merdeka di KM53, Jalan Kuching-Serian.


“Pemeriksaan ke atas kereta Perodua Bezza yang dipandu suspek telah menjumpai satu beg di tempat duduk penumpang hadapan.

“Polis kemudian menemui satu tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 0.3 gram,” katanya di sini hari ini.

Anis menambah, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut.

Sementara itu katanya, dalam Ops Ambang Merdeka sama, polis juga telah menahan dua lelaki dan saringan ujian kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Manakala, pada sebelah petang semalam juga pihak IPD Simunjan telah membuat tangkapan empat lelaki dibsekitar daerah Simunjan dan kemudiannya merujuk mereka ke IPD Serian untuk saringan ujian air kencing.

“Pemeriksaan ujian air kencing kemudiannya dapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) & 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily