AADK cekup 14 kaki dadah, 10 individu positif dadah

Anggota AADK menahan individu yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

KOTA SAMARAHAN, Ogos 31: Seramai 14 individu dicekup menerusi Ops Perdana bagi mengesan penyalahgunaan dadah di sekitar bahagian ini semalam.

Antara kawasan yang diserbu ialah di sekitar Kampung Semera, Kampung Moyan Laut, Kampung Tambirat, Kampung Niup, Kampung Sambir dan Kampung Tanah Putih.

Jurucakap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Samarahan berkata operasi yang dilakukan itu turut mengesan penagih di beberapa kawasan terbabit termasuk di rumah kosong dan kediaman penagih terbabit.


Katanya, penagih dadah kini dipercayai gemar memilih kawasan rumah mereka untuk tempat melepaskan gian.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati 10 daripada 14 individu terbabit didapati positif syabu.

“Kejayaan operasi kali ini adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan anggota AADK,” katanya di sini hari ini.

Antara individu yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Jurucakap sama menambah, AADK bahagian ini akan terus mengeratkan lagi kerjasama dengan komuniti dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kesemua individu yang positif dadah kini ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” ujarnya lagi. — DayakDaily