Tujuh lelaki ditangkap dalam serbuan atas kegiatan judi laga ayam

Lokasi serbuan.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Feb: Sebanyak empat ekor ayam laga hidup disita dan tujuh lelaki tempatan termasuk lima warga emas ditahan selepas polis menyerbu kegiatan judi laga ayam yang diadakan di satu kawasan lapang di Pujut Corner pada tengahari Ahad (14 Feb).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, serbuan pada 2.50 petang itu dibuat menerusi Ops Limau Judi Laga Ayam selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar yang bimbang akan penularan wabak Covid-19, memandangkan pada saat ini daerah Miri berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Advertisement

Tangkapan dibuat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).

Menurut Hakemal, beberapa penonton bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, meninggalkan tujuh individu terbabit bersama-sama empat ekor ayam laga berkenaan di lokasi.

Beliau menambah, kesemua suspek yang berusia 34 hingga 76 tahun itu akan didakwa menurut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang menggariskan 21 kesalahan khusus kezaliman terhadap haiwan. — DayakDaily

Advertisement