Oleh Chris Bishop
KUCHING, 19 April: Tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 tidak dibenarkan kompaun.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, kempen itu berkuat kuasa dari 18 hingga 27 April.
“Kesalahan itu membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya ketika ditemui selesai Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Stesen Petros di Petra Jaya hari ini.
Tambah Hasbi, bagi pemandu yang didapati melanggar tujuh kesalahan tersebut, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan saman.
Sebaliknya, ujar beliau, pesalah akan diberi notis mahkamah dengan serta merta.
Dalam pada itu, katanya, JPJ Sarawak mengambil langkah untuk melaksanakan rondaan di sebanyak 53 lokasi strategik di seluruh Sarawak yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
“Ini bertujuan bagi meningkatkan kadar kebolehlihatan penguatkuasaan bagi meningkatkan pematuhan tingkah laku pemanduan selamat melalui pengurangan melakukan kesalahan trafik berulang di jalan raya,” katanya. — DayakDaily