Tujuh inisiatif tambahan BKSS 5.0 libatkan kos RM141.7 juta

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 3 Feb: Tujuh inisiatif tambahan akan dilaksanakan kerajaan Sarawak di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 bagi membantu perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perlaksanaan kesemua inisiatif tersebut akan memberikan manfaat kepada lebih 10,000 usahawan PKS yang terdapat di negeri ini.

Katanya, bagi memnjayakan inisiatif itu, kerajaan Sarawak bersetuju menyediakan bantuan dalam bentuk kewangan melibatkan kos sebanyak RM141.7 juta.


“Keputusan tersebut diambil selepas perbincangan dan mendapat pandangan daripada persatuan usahawan, institusi kewangan dan pemain industri termasuk keluhan rakyat terutamanya golongan usahawan yang bimbang akan peniagaan mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya pada sidang media Pengumunan Insiatif tambahan bagi PKS dibawah BKSS 5.0 di Wisma Sumber Alam di sini hari ini.

Katanya, menerusi inisiatif itu tambahan peruntukkan turut diberikan kepada beberapa skim dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Beliau berkata, peruntukkan tersebut adalah melibatkan tambahan sebanyak RM50 juta dibawah Skim kredit Mikro Sarawak, tambahan RM20 juta kepada RM2 juta yang sedia ada di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan tambahan RM20 juta kepada RM3 juta yang sedia ada di bawah Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Selain itu, menerusi BKSS 5.0 ini juga kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyediakan sebanyak RM22.2 juta untuk subsidi faedah bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan RM2.5 juta lagi untuk subsidi faedah bagi Penjana Tourism Financing (PTF).

Awang Tengah berkata, selaras dengan dasar ekonomi digital Sarawak, Peruntukkan sebanyak RM22 juta turut disediakan kepada usahawan terlibat.

Peruntukkan tersebut merangkumi peruntukkan RM20 juta dibawah Program Go Digital Sarawak dan RM2 juta di bawah Program Latihan Digital
Marketing.

“Kedua-dua program ini adalah program baharu untuk membantu usahawan kita dalam meningkatkan produktiviti dan mengembangkan pasaram menerusi platform digital,” katanya. -DayakDaily