RM1.5 bilion diperuntukkan bangunkan Baram, Mulu dan Telang Usan

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Dean Adam

MIRI, 2 Nov: Sejumlah RM1.5 bilion dana telah diperuntukkan bagi melaksanakan 43 projek infrastruktur di kawasan di Baram, Mulu dan Telang Usan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua projek berkenaan akan mula dilaksanakan mulai tahun depan hingga 2020.

Katanya, kerajaan negeri telah melantik Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sebagai agensi pelaksana projek itu.

“Dana yang diluluskan ini (RM1.5 bilion) adalah bagi menaiktaraf kemudahan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di tiga kawasan tersebut secara berperingkat.

“Kita akui sememangnya pelbagai projek pembangunan lain dibangunkan di tiga kawasan itu, tetapi ia masih tidak mencukupi dan memuaskan,” katanya selepas sesi taklimat kepada ketua masyarakat dan ketua kaum di sini semalam.

Sementara itu, Uggah yakin ketiga-tiga kawasan tanah tinggi berkenaan mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian secara komersial.

Ujar beliau, kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi berkaitan akan memastikan ketiga-tiga kawasan tersebut dibangunkan sekali gus melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, kita berharap masyarakat setempat akan memberi kerjasama kepada agensi pelaksana bagi mempercepatkan pembangunan di Baram, Mulu dan Telang Usan,” katanya. — DayakDaily