TUDM lakukan penerbangan ihsan bawa bayi hidap penyakit kronik

Petugas TUDM membawa seorang bayi yang sakit menghidap penyakit 'Severe Combined Immunodeficiency'.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 11: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini membuat penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 28 hari yang menghidap penyakit kronik iaitu ‘Severe Combined Immunodeficiency’ (SCID) dari Hospital Sibu ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Serdang.

Jurucakap TUDM berkata, pesakit itu, Calvin Shayne Stallone telah diterbangkan dari Sibu ke Pangkalan Udara Subang menggunakan pesawat milik TUDM jenis CN235 daripada No. 1 Skuadron.

Advertisement

Katanya, pesawat yang dikendalikan oleh juruterbang TUDM Kapten Mohd Nurul Azmie Rofdi dan Kapten Muhammad Azizi Ayob selaku pembantu juruterbang serta dibantu oleh lima krew.

“Pesawat tersebut telah berlepas pada pukul 9.11 pagi dari Lapangan Terbang Sibu dan selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada pukul 12.30 tengah hari.

“Sejurus tiba di Pangkalan Udara Subang pesakit terus dikejarkan ke Hospital Serdang menggunakan kenderaan ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, turut mengiringi pesakit dalam penerbangan tersebut adalah ibu bapanya iaitu Catherine John (ibu), Stallone Anthony (bapa) serta petugas perubatan dari Hospital Sibu iaitu Dr Ha Saw Jing serta SN Marilyn Austin (jururawat).

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab TUDM di dalam memberikan komitmen serta kesungguhan yang tinggi untuk memenuhi keperluan kebajikan masyarakat seumpama ini.

“Seluruh warga TUDM mendoakan agar pesakit ini diberikan kesembuhan seperti sedia kala.

“Tahniah juga diucapkan kepada semua juruterbang dan anak kapal pesawat CN235 dalam melaksanakan tugas dengan jayanya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement