Juruukur bahan lesap wang RM4,750 ditipu kononnya akaun bank dibekukan

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 11: Seorang juruukur bahan di sini kerugian RM4,750 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian tersebut dilapor oleh seorang lelaki berusia 30 tahun.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor +320319999 mengatakan mangsa terlibat dengan dua kes iaitu penggubahan wang haram dan kegiatan menjual dadah.

“Modus operandi suspek ialah menyamar sebagai seorang pegawai polis dari Bukit Aman.

“Suspek kemudian memberitahu akan membekukan akaun bank mangsa sebelum meminta mangsa untuk memindahkan wang mangsa dari akaun Public Bank ke akaun RHB Bank suspek atas nama Jayavik sebanyak RM4,750,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang panik dengan dakwaan itu kemudiannya memasukkan wang sebanyak RM4,750 ke akaun suspek menerusi transaksi dalam talian.

Katanya, mangsa mula menyedari telah ditipu selepas suspek gagal dihubungi.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily