TUDM hantar keperluan barang perubatan dan kesihatan ke Sarawak dan Sabah

Proses memuat naik barang-barang ke dalam pesawat A400M bermula seawal jam 5.00 pagi bertempat di Pangkalan Udara Subang.
Advertisement

KUCHING, April 14: Pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) awal pagi ini melaksanakan satu lagi penerbangan menghantar keperluan barang perubatan dan kesihatan ke Sarawak dan Sabah.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan ia bagi memastikan fasiliti kesihatan di kedua-dua negeri tersebut sentiasa mencukupi dalam usaha memerangi wabak Covid-19 di Malaysia.

Menurut kementerian, proses memuat naik barang-barang ke dalam pesawat A400M bermula seawal jam 5.00 pagi bertempat di Pangkalan Udara Subang.

Advertisement

“Pesawat A400M yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas pada jam 7.00 pagi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 8.45 pagi bagi menurunkan barang-barang keperluan bagi negeri Sarawak.

“Selesai sahaja di Pangkalan Udara Kuching, pesawat kemudiannya meneruskan penerbangan dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 1.25 petang bagi penghantaran barang-barang untuk negeri Sabah,” menurut kenyataan itu.

Proses memuat naik barang-barang ke dalam pesawat A400M bermula seawal jam 5.00 pagi bertempat di Pangkalan Udara Subang.

Barang-barang yang dihantar ini terdiri daripada spesimen klinikal tambahan dan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kegunaan petugas perubatan.

TUDM turut membawa bekalan topeng muka sebanyak 19,000 ribu keping yang disalurkan oleh kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik Covid-19 di Sarawak dan Sabah. — DayakDaily

Advertisement