Covid-19: Masjid India di Kuala Lumpur PKPD Kelima

Police personnel manning a roadblock in Kuching in this file photo.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 14: Masjid India di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya dilaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kelima.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut atas nasihat Menteri Kesihatan.


“PKPD ini berkuatkuasa mulai 14 April 2020 sehingga 28 April 2020, melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

“Semua penghuni kawasan yang terbabit diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Mengulas berhubung penyebaran berita palsu Covid-19, Ismail Sabri berkata pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 217 kertas siasatan.

Katanya, sebanyak 162 masih dalam siasatan, manakala 23 sudah dituduh di mahkamah dengan empat telah mengaku salah.

“Peringatan kepada mereka yang telah memuat naik berita palsu dan memadam ‘posting’nya selepas tular, pihak berkuasa tetap akan mengambil tindakan.

“Kita meneruskan tindakan kepada sesiapa sahaja dan pihak polis tidak berkompromi,” kata beliau. — DayakDaily