Treler langgar treler, seorang pemandu lelaki temui ajal

Kelihatan keadaan dua treler yang terlibat dalam kemalangan.
Advertisement

SRI AMAN, Mei 3: Malang menimpa seorang pemandu apabila dia maut selepas treler yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi treler di KM18, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Mahmud Alan, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa yang memandu treler itu seorang diri dikatakan menuju ke Sri Aman dari Betong.

Advertisement

Jelas beliau, nahas dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler lain yang kebetulan bergerak di laluan tersebut.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemandu treler hanya cedera di tangan kanan dan mukanya,” katanya di sini hari ini.

Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement