Nancy: Jangan terpedaya dengan drama pembangkang

Nancy (dua kiri) merakam gambar bersama masyarakat setempat.

SIMUNJAN, Mei 3: Pengundi di Parlimen Batang Sadong diingatkan agar tidak terpedaya dengan drama pihak pembangkang kerana mereka hanya datang berkempen setelah kampung-kampung tersebut menerima kemudahan daripada pihak kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hanya kerajaan BN yang benar-benar ikhlas membantu memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Katanya, pemimpin pembangkang hanya tahu bersuara menentang kerajaan, namun gagal membentuk kerajaan dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.


“Kerajaan BN sudah memerintah negara ini sekian lama dan pemimpin silih berganti menerajui kerajaan.

“Kita boleh lihat dengan jelas betapa Sarawak telah mengecapi pembangunan secara berterusan dan maju ketika ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau telah mengadakan tinjauan mesra di Kampung Sungai Labi dan Kampung Sabang.

Beliau juga telah menyampaikan amanat sebagai memberi motivasi kepada jentera parti BN di situ agar mereka dapat menyampaikan maklumat dan fakta yang tepat kepada pengundi di situ.

“Justeru, rakyat di kawasan luar bandar diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan propaganda yang disebarkan pihak pembangkang yang sengaja mengelirukan pemikiran rakyat.

“Rakyat seharusnya bersyukur dengan pelbagai pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, kaum dan anutan agama,” ujarnya lagi. — DayakDaily