MIRI, April 17: Malang menimpa seorang pekerja kapal minyak dan gas apabila dilaporkan hilang selepas kapal MV GEOS yang sedang belayar di perairan Kuala Baram di sini terbakar dalam satu kejadian awal pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu turut mengakibatkan dua pekerja cedera dan melecur, manakala 36 pekerja lain dilaporkan selamat.
Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM13 Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, pihaknya menerima satu isyarat kecemasan di perairan Kuala Baram pada pukul 3.16 pagi.
Jelasnya, pusat operasi APMM DM13 kemudian mengarahkan sebuah Bot Penggalang 23 bersama enam anggota untuk ke lokasi bagi mengenalpasti punca isyarat kecemasan berkenaan.
“Pada pukul 3.45 pagi, pasukan terbabit telah sampai ke lokasi kejadian di mana punca isyarat kecemasan tersebut dikesan dan mendapati sebuah kapal sedang terbakar.
“Semua 38 anak kapal terbabit telah dikesan terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri, namun seorang dilaporkan gagal dikesan,” katanya di sini hari ini.
Md Fauzi menambah, siasatan awal mendapati, kebakaran itu melibatkan sebuah kapal milik syarikat AGEO Marine Sdn Bhd yang berdaftar di Kuala Lumpur.
Katanya, identiti mangsa yang hilang belum dapat didedahkan buat masa ini.
“Kebakaran melibatkan kapal itu terkawal sepenuhnya pada pukul 8 pagi dengan bantuan dua kapal lain iaitu MP Perdana Frontier dan MP Nautica Aleesya,” ujarnya lagi. — DayakDaily