Graduan UiTM perlu minat terhadap ekonomi digital

Arshad (duduk, empat kanan) bersama Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dato Dr Jamil Hamali (duduk, tiga kiri) serta tetamu kehormat lain merakam gambar dengan graduan-graduan cemerlang UiTM.

KUCHING, April 17: Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu meningkatkan minat terhadap ekonomi digital agar dapat melibatkan diri dalam sektor keusahawanan berasaskan teknologi digital.

Pro Cancelor UiTM, Tan Sri Dato’ Seri Utama (Dr) Arshad Ayub berkata antara bidang yang boleh diceburi adalah seperti pembangunan aplikasi serta permainan digital, dan bukan sekadar menjadi pemain tegar ‘Clash of Clans’, ‘Candy Crush’ atau ‘Mobile Legends’ semata-mata.

“Selepas ini, kita tidak hanya ingin melihat anak-anak kita memilih kerjaya tradisi seperti doktor, jurutera dan peguam tetapi mereka perlu terlibat dalam alam pekerjaan yang menjadi ‘trending’ pada masa hadapan seperti pakar pemasaran digital, pakar pencetakan 3D, saintis data dan pakar keselamatan siber.


“Harus diingat juga, sektor teknologi digital bukan hanya untuk diceburi oleh graduan Teknologi Maklumat atau Sains Komputer semata-mata, malah graduan bidang lain juga harus berusaha untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sektor teknologi digital memandangkan ia bakal menjadi pemacu utama perkembangan ekonomi negara,” katanya ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-88, UiTM Sarawak hari ini.

Justeru seiring dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022, beliau berkata UiTM Sarawak telah menggandakan usaha bagi meningkatkan dan menambahbaik potensi pembangunan para pelajarnya supaya dapat menjadi golongan muda yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan ekonomi digital.

Katanya, ini termasuk penyediaan Makmal Dataraya di Kampus Samarahan 2 yang telah dilancarkan secara serentak di beberapa kampus UiTM seluruh negara pada Oktober tahun lepas.

“Kita berharap kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan kursus membabitkan penggunaan dataraya dan memperluaskan penyelidikan dan pembangunan bidang berteraskan ekonomi digital,” katanya.

Selain itu, Arshad turut menyeru graduan UiTM supaya mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari bagi memulakan kehidupan, sama ada menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau pun dalam alam pekerjaan.

Menurut beliau, banyak peluang pekerjaan yang boleh diceburi oleh para graduan sama ada dalam sektor-sektor tertentu atau membuka perniagaan sendiri.

“Kita ambil contoh seperti pelajar Sains Sukan, selain bekerja makan gaji, para graduan juga boleh menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan melalui pembukaan gymnasium, menjadi jurulatih kecergasan, jurulatih peribadi, pakar rujukan kesihatan dan kecergasan.

“Begitu juga graduan di dalam bidang pengurusan maklumat, kejuruteraan, ukur bahan dan bangunan di mana anda juga bakal menggegarkan dunia dan menjadi orang ternama,” katanya. — DayakDaily