Top Spot Food Court yang kedua dicadangkan berikutan permintaan tinggi

Abdul Karim (tengah) memotong riben sebagai simbolik merasmikan pembukaan Restoran Budaya Sarawak di Sarawak Steamship Building, Tebingan Kuching.

KUCHING, Sept 19: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan medan selera Top Spot Food Court yang kedua di pusat bandaraya ini berikutan medan selera makanan laut yang popular dikalangan pelancong terbabit sudah mula mengalami kesesakkan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dengan cadangan terbabit sudah dikemukakannya kepada Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai.

“Saya sudah memberitahu Datuk Bandar (Kuching Utara), kita mungkin memerlukan Top Spot yang kedua (di bandaraya ini), kerana medan selera terbabit selalu dikunjungi ramai pelanggan dan berlaku sedikit kesesakkan di sana,” katanya ketika merasmikan pembukaan Restoran Budaya Sarawak di Sarawak Steamship Building, Tebingan Kuching di sini, semalam.


Juga menghadiri majlis terbabit ialah Abang Abdul Wahab, Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Wee Hong Seng dan pengusaha Restoran Budaya Sarawak, Sim Boon Chiang.

Abdul Karim berkata kesesakkan berlaku kerana Top Spot Food Court di tingkat atas bangunan letak kereta terbabit yang ada deretan gerai menjual makanan laut kini sudah menjadi tempat popular di bandaraya bagi menjamu selera waktu malam bagi kalangan pelancong.

Sehubungan itu, beliau memuji pengusaha Restoran Budaya Sarawak kerana juga mensasarkan menarik pelanggan di kalangan pelancong yang ramai sekitar pusat bandaraya ini seperti Top Spot Food Court tetapi menghidangkan makanan tempatan asli.

“Mereka (Restoran Budaya Sarawak) menghidangkan ikan empurau, nasi Bario, terung dayak, dan sayur midin supaya pelancong dapat menikmati hidangan tempatan; malahan mereka juga menambah tarikan restoran dengan persembahan tarian kebudayaan Sarawak,” katanya, sambil menambah makanan terbabit juga halal.

Sehubungan itu, Abdul Karim menyarankan restoran terbabit dan lainnya di pusat bandaraya ini yang mahu mempersembahkan tarian kebudayaan kepada pelancong di permis mereka supaya menghubungi Majlis Seni Sarawak atau Sekolah Seni Kuching yang ada ramai kumpulan penari kebudayaan. — DayakDaily