Nahas lima kenderaan, semua pemandu dan penumpang selamat

Kelihatan keadaan kemalangan membabitkan lima kenderaan.

SERIAN, Sept 19: Lima pemandu termasuk penumpang lima kenderaan berdepan detik-detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan di Bukit Rasau, Jalan Serian-Sri Aman di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.36 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan berhubung kemalangan itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke lokasi bagi melakukan operasi menyelamat.


“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan tersebut membabitkan lima buah kenderaan di kawasan bukit di jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa yang tersepit dan kesemua mangsa dilaporkan selamat dan mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kejadian itu dipercayai berlaku selepas sebuah van melanggar sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan sebelum kenderaan yang lain dari arah belakang juga turut terlibat.

Katanya, pihak bomba kemudian menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ di atas jalan raya bagi menghilangkan kesan minyak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain terjamin.

“Operasi ditamatkan sebaik kawasan kemalangan dalam keadaan terkawal,” katanya. — DayakDaily