Tokan dadah ditangkap di Kampung Bako Hilir

Keratan tiub straw dan paket plastik berisi syabu yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 9 April: Seorang lelaki dipercayai tokan dadah ditangkap selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM5,923 semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek yang berusia 30 tahun itu ditangkap dalam satu operasi di Kampung Bako Hilir, Petra Jaya pada jam 3.58 petang.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek telah menjumpai 34 paket plastik lutsinar berisi 33.76 gram syabu dan 50 keratan tiub straw juga berisi syabu kira-kira 25.47 gram.


“Siasatan awal mendapati dadah diperolehi secara bank-in dan akan dibuang ke satu tempat yang akan dimaklumkan oleh pembekal setelah urusan pembelian dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, suspek kini ditahan reman selama 8 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati,” katanya.

Hasil saringan awal air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau. — DayakDaily