Toh Puan Ragad, 3 timbalan menteri penerima darjah kebesaran Wilayah Persekutuan

Ragad (Atas, kiri), Hasbi (bawah, kiri), Willie (atas, kanan) dan Ali (bawah, kanan).

KUCHING, 1 Feb: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Ragad Kurdi Taib dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk Seri Utama sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Sementara itu, tiga timbalan menteri dari Sarawak adalah di antara 81 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Datuk Ali Biju; Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, tarikh Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima kelak.

“Walaupun Istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, SUMW, SMW dan PMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka.

“Wanita, yang suami mereka dikurniakan pangkat darjah kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Penerima lain yang dikurniakan SUWM adalah Yang di-Pertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas; Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Yang di-Pertua Melaka Tun Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Manakala, seramai 24 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin turut dikurniakan PMW dengan gelaran Datuk.

Selain itu, 49 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JWM), 76 individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 31 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). — DayakDaily