TMK1: Belum ada vaksin ditemui rawat Covid-19

Senator Dr Nuing Jeluing
Advertisement

KUCHING, 9 Sept: Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini belum ada vaksin ditemui untuk merawat pesakit Covid-19.

Menjawab soalan Senator Dr Nuing Jeluing di persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata, jika vaksin ditemui sudah tentu kerajaan akan berusaha mendapatkannya.

“Memanglah pada ketika ini rawatan untuk Covid-19 belum ada dan vaksin pun belum jumpa.

Advertisement

“Sebenarnya, jika kita ada rawatan yang khusus dan kita ada vaksin, maka harapan untuk sembuh daripada Covid-19 ini adalah sangat tinggi.

“Jadi pada ketika ini memang tidak ada vaksin yang ditemukan,” katanya.

Dr Nuing bertanya kesahihan terdapat negara-negara pengeluar vaksin seperti China, India, Rusia, Thailand dan United Kingdom (UK) sedang melakukan ujian klinikal ketiga bagi antiviral ini.

Tambah Dr Noor Azmi, sesuatu vaksin mestilah menjalani beberapa tahap Fasa pra klinikal dan klinikal untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan pada manusia.

Jadi katanya, negara kita pada hari ini ada membuat kolaborasi strategik dengan beberapa negara.

“Sudah pasti, jika ada negara-negara yang sudah melalui fasa-fasa pra klinikal dan klinikal dan telah diberi kelulusan oleh Pertubuhan Keselamatan Dunia, maka kerajaan kita akan berusaha untuk mendapatkan vaksin tersebut
untuk merawat rakyat di negara ini,” katanya. — DayakDaily

Advertisement