Tiong gesa pemilik rumah sewa utamakan keselamatan, jangan sekadar kutip sewa sahaja

Tiong ketika melawat ke kawasan kebakaran di Fortune Park, Tanjung Batu.

KUCHING, 18 Feb: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap MP Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pemilik hartanah yang menyewakan kediaman hendaklah memastikan piawaian keselamatan dipatuhi tanpa kompromi.

Menurut beliau, ia bagi memastikan kejadian tidak diingini seperti kebakaran berlaku.

Ia berikutan berita kebakaran yang berlaku di Fortune Park, Lorong Kuini, Jalan Tanjung Batu yang telah mengorbankan dua nyawa, termasuk seorang kanak-kanak OKU awal pagi semalam.


“Tragedi ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua supaya memastikan tahap keselamatan di kediaman masing-masing berada pada tahap optimum.

“Ini termasuk laluan kecemasan yang perlu berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan ketika berlaku kecemasan,” katanya pada lawatan ke tempat kejadian hari ini.

Jelas Tiong, apabila menyewakan rumah, pemilik tidak boleh hanya mengutip bayaran sewa dan melepaskan tangan begitu sahaja berhubung aspek keselamatan.

“Berhubung tragedi kebakaran awal pagi tadi, saya telah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk menyiasat secara telus dan menyeluruh.

“Persoalan mengenai bagaimana seorang kanak-kanak OKU tingggal bersama seorang warga Filipina wajar dirungkai,” kata Tiong. — DayakDaily