This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 24 Julai: Objektif utama Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) kini ialah meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk di sekitarnya.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia setelah kerajaan membangunkan infrastruktur seperti jalanraya dan kemudahan bekalan air serta elektrik.
“Setelah infrastruktur bertambah baik, kini kita ingin meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Penduduk luar bandar memerlukan pendapatan yang lebih daripada apa yang mereka dapat sekarang,” katanya.
Nanta berkata demikian pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah URDA di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi URDA mengingatkan kontraktor bagi projek URDA untuk melaksanakan setiap projek dengan baik.
Tegas beliau, mana-mana kontraktor yang gagal bakal menghadapi tindakan diberhentikan.
“Pihak URDA tegas dengan kontraktor yang tidak dapat memenuhi kewajipan mereka iaitu tidak dapat melaksanakan projek dengan sempurna.
” Kita tidak boleh menganiaya rakyat yang memerlukan projek penting lebih-lebih lagi projek sosioekonomi dan pembangunan seperti infrastruktur bekalan air dan jalan raya,” katanya. — DayakDaily