Tindakan tegas terhadap individu yang melepaskan tanglung terbang — MBKS

Orang ramai yang membawa tanglung bagi meraikan Festival Kuih Bulan di Taman Sahabat.
Advertisement

KUCHING, 14 Sept: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sudah menempatkan seramai 10 kakitangan penguatkuasa bagi mengambil tindakan terhadap orang ramai yang melepaskan tanglung terbang di Taman Sahabat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata pelepasan tanglung kertas terbabit yang juga dikenali sebagai tanglung Kong Ming Deng ke udara adalah diharamkan di taman itu, yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada waktu malam.

“Kami juga akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menjual tanglung terbang terbabit, kerana sebelum ini ada yang menjualnya di taman ini,” katanya selepas merasmikan penyalaan lampu hiasan sempena sambutan Festival Kuih Bulan di taman itu, di sini, semalam.

Advertisement

Wee berkata tindakan tegas terbabit perlu dilakukan kerana tanglung terbang terbabit, yang tidak dikawal ketika di udara, boleh jatuh atas bumbung rumah dan menyebabkan risiko kebakaran kepada perumahan sekeliling taman itu.

“Tahun sebelum ini pernah ada tanglung terbang terbabit jatuh atas bumbung rumah, jadi kejiranan sekitar taman ini menjadi amat bimbang setiap kali ada yang melepaskan tanglung itu di taman ini.

“Mereka juga tidak boleh tidur kerana perlu berwaspada sepanjang malam,” katanya.

Wee (duduk dua kanan) bersama orang ramai yang membawa tanglung bagi meraikan Festival Kuih Bulan di Taman Sahabat.

Beliau berkata dengan kehadiran kakitangan penguatkuasa MBKS yang ramai di taman terbabit, pihaknya berharap dapat memberhentikan perbuatan melepaskan tanglung terbang terbabit itu serta mencegah segala aktiviti menyalahi undang-undang lain.

Kecuali tanglung terbang, MBKS membenarkan peniaga menjual minuman dan makanan di taman terbabit walaupun mereka terbabit tidak memiliki permit berniaga di sana.

Wee berkata bagi sambutan Festival Kuih Bulan tahun hadapan, pihaknya akan minta peniaga terbabit mendapatkan permit berniaga taman itu dan juga akan mengaturkan tapak perniagaan mereka supaya menjadi lebih tersusun. — DayakDaily

Advertisement