APM perkasa ilmu pertahanan awam di kalangan orang awam dan pelajar

Roslan (duduk tengah) merakamkan gambar bersama warga APM Sarawak.

KUCHING, Sept 14: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus memperkasakan ilmu pertahanan awam dalam usaha memperkemaskan aspek pengurusan bencana di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Dato Roslan Wahab berkata pihaknya bertanggungjawab mengkoordinasikan sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana itu berlaku.

Jelasnya, bagi menyokong tugas APM selaku sekretariat pengurusan bencana, pihaknya telah mewujudkan beberapa pasukan bantuan.


“Antaranya ialah Pasukan Sokongan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT)-NGO, Kor Pertahanan Awam Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA).

“Seterusnya, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA-Sekolah Menengah) Tunas Pertahanan Awam (TUSPA-Sekolah Rendah) dan Komuniti di peringkat Kampung,” katanya
semasa menyampaikan amanat kepada warga APM Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Roslan (dua kiri) menyampaikan sijil kepada pegawai APM Sarawak.

Roslan menambah, dengan adanya semua pasukan APM yang bermula dari sekolah rendah sehinggalah peringkat universiti dan orang awam, ilmu pertahanan awam dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh dalam ilmu pengurusan bencana. — DayakDaily