Tindakan proaktif perlu diambil atasi masalah hakisan tanah di SK Batang Lassa, Daro

Safiee Ahmad (file pic)

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 8: Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan proaktif dalam mengatasi masalah hakisan tanah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa, Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, SK Batang Lassa salah sebuah sekolah rendah di kawasan DUN Daro sekarang sedang diancam oleh masalah hakisan tanah yang serius.

Menurutnya, kedudukan beberapa bangunan agak bahaya kerana sudah terlalu hampir dengan tebing sungai yang terhakis.

“Apa yang merisaukan saya ialah sekolah ini merupakan sekolah berasrama.

“Sehubungan itu, usaha proaktif yang dilakukan dalam masa yang terdekat oleh pihak kementerian pendidikan untuk mengatasi masalah ini atau mengalih sekolah ini ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang Pembekalan (2019), 2018 dalam Persidangan Dewan Undangan (DUN) ke-18 di sini semalam.

Safiee menambah, beliau juga tidak mahu melihat insiden yang tidak diingini berlaku sekali gus mengancam keselamatan murid-murid serta warga sekolah di situ.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pihak Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Ekonomi Luar Bandar melalui Jabatan Pertanian Sarawak supaya menggalakan penanaman secara komersial tanaman-tanaman yang berpotensi tinggi seperti nanas MD2 dan buah pisang di kawasan persisir pantai Sarawak memandangkan kedua-dua buah tersebut kini mempunyai pasaran yang meluas di luar negara.

Selain itu katanya, ini juga penting supaya tanah yang terbiar dapat dijadikan modal untuk membangun ekonomi kawasan persisir.

“Manakala sektor perikanan pula merupakan salah satu pekerjaan utama masyarakat pesisir termasuk di Daro.

“Sektor ini juga merupakan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Oleh itu, saya berharap dalam bajet kerajaan negeri ini turut memberi perhatian kepada golongan nelayan termasuk kategori nelayan sungai dan nelayan pantai,” katanya. ā€” DayakDaily