Tindakan pantas penduduk Kampung Tiris memadamkan api berjaya selamatkan sebuah kediaman daripada musnah

Api berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.

MIRI, 3 Nov: Tindakan pantas penduduk Kampung Masjid Tiris, Bekenu, berjaya menyelamatkan sebuah rumah dari musnah dijilat api dalam satu kejadian pada malam Rabu.

Menurut pemangku penguasa Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 7.13 malam tadi.

Katanya, tindakan pantas penduduk berjaya memadamkan api daripada terus merebak.


Sepasukan anggota dari Balai Bomba Batu Niah telah bergerak ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati benar ada kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 20×30 dengan anggaran 20 peratus terbakar pada bahagian dapur,” ujarnya.

Tambahnya, tiada operasi dijalankan kerana kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan Bomba.

Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati kebakaran tersebut hanya melibatkan bahagian dalam iaitu dapur memasak, siling rumah dan peralatan kelengkapan rumah.

Rumah tersebut didiami seramai empat penghuninyang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berusia dari 13 sehongga 53 tahun.

Turut ke lokasi awal pagi tadi, anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri yang menyerahkan bantuan makanan kepada pemilik kediaman.

Menurut Pegawai APM Miri Lt (PA) Mirwan Shah Masri, kesemua empat mangsa telah berpindah sementara ke rumah saudara yang terdekat.

“Bantuan kit makanan telah diserahkan kepada mangsa kebakaran,” katanya. — DayakDaily