Tindakan pantas jurutera hubungi polis selamatkan daripada terpedaya sindiket ‘Macau Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MUKAH, Okt 29: Tindakan pantas seorang jurutera menghuhungi pihak polis bertanyakan kononnya dia terlibat dengan tuduhan kes jenayah berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa penipuan ‘Macau Scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, sebelum itu lelaki berusia 24 tahun tersebut telah menerima panggilan telefon kononnya dari Bahagian Trafik Johor Jaya.


Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Jeffri kemudian memberitahu pengadu ada terlibat dengan kes langgar lari sebelum dia meletakkan telefon.

“Kemudian suspek meletakkan talian telefon dan akan menghubungi pengadu semula dan selepas itu pengadu dihubungi seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mark dari Balai Polis Johor Jaya.

“Suspek kemudian memberitahu nombor kad pengenalan pengadu telah digunakan untuk menyewa kenderaan dan terlibat dengan langgar lari,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek kemudian mendakwa kereta sewa tersebut telah ditahan dan dadah ada ditemui dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, suspek juga memberitahu pengadu terlibat di dalam penggubahan wang haram kerana suspek mengenali pengadu dan tahu akaun bank pengadu.

“Suspek juga memberitahu pengadu ada akaun bank OCBC dan terdapat wang berjumlah RM2.8 juta di dalam akaun tersebut.

“Selepas itu suspek meminta butir-butir akaun bank dan jumlah wang di dalam akaun pengadu serta butir-butir peribadi keluarga pengadu,” katanya.

Mustafa memberitahu, suspek kemudian meminta wang sejumlah RM25,000 sebagai jaminan agar waran tangkap tidak dikeluarkan dan pengadu tidak akan direman.

Ujarnya, pengadu kemudian menghubungi Balai Polis Johor Jaya dan bertanyakan maklumat kes pengadu serta nama anggota yang menghubungi dirinya.

“Balai Polis Johor Jaya kemudian memaklumkan pengadu tidak terlibat dengan apa-apa kes dan tiada nama anggota yang menghubungi pengadu dari di balai tersebut.

“Pengadu tidak mengalami sebarang kerugian sebelum membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily