Tindakan pantas bomba selamatkan satu daripada tiga tingkat bangunan dalam kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah kedai perabot.

PADAWAN, Okt 6: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan sebuah kedai perabot di sini musnah terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.12 petang itu, pasukan bomba berjaya menyelamatkan satu daripada tiga tingkat bangunan kedai berkenaan.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Cristia Corrin Tagol, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.12 petang.

Satu daripada tiga tingkat bangunan kedai berjaya diselamatkan.

Jelas beliau, sejurus itu, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat satu dan dua bangunan kedai perabot tersebut.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan api tidak merebak ke tingkat tiga dan bangunan berhampiran,” katanya di sini hari ini.

Cristia memberitahu, anggota bomba di lokasi bertindak membuat pemadaman kebakaran dengan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan dan terkawal pada pukul 7.50 petang.

“Pihak Sarawak Energy Berhad juga turut berada di lokasi untuk memotong bekalan elektrik.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily