Timbalan presiden PSB enggan mengulas khabar angin PRN

Jerip (tengah, baju biru) ketika mengadakan lawatan ke kawasan kompleks kargo LTAK bersama Persatuan Agensi Penghantaran Sarawak (SFAA), di Kuching.

KUCHING, Mac 13: Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Dr Jerip Susil memilih untuk mendiamkan diri dan tidak memberi komennya tentang pelbagai khabar angin yang sedang tersebar membabitkan parti itu.

Antara khabar angin tersebut ialah mengenai parti itu mungkin akan bertanding di kerusi milik parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihanraya negeri akan datang.

“Tiada komen buat masa ini. Khabar angin adalah khabar angin, bukan buat masa ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan kompleks kargo LTAK bersama Persatuan Agensi Penghantaran Sarawak (SFAA), di sini, semalam.


Sehubungan itu, Dr Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan enggan mengulas khabar angin lebih ramai wakil rakyat di Sarawak akan menyertai parti itu selepas ini dan menegaskan sebarang kenyataan media dari PSB mestilah dikeluarkan pejabat parti, Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Pusat PSB.

Khabar angin itu timbul setelah lima ahli politik ternama tempatan dan 13 ahli politik lain telah menyertai PSB baru-baru ini.

Lima ahli politik ternama itu ialah Datuk Joseph Entulu Belaun yang merupakan bekas timbalan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Masir Kujat merupakan Ahli Parlimen Sri Aman dan bekas naib presiden PRS.

Tiga yang lain ialah Datuk William Nyalau Badak merupakan bekas naib presiden PRS, Datuk Sylvester Entri Muran merupakan bekas menteri muda negeri dan Banyi Beriak merupakan pemangku presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Manakala ahli politik lain yang turut mengikut jejak langkah mereka termasuk Richard Wil Uban, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Raymond Bullie, Vivien Nyut Nasat, Assan Ngang, Ali Adap, Andrew Lamit, Edward Kurik, Andrew Winston Kaya, Penghulu Michael Derin, Patrick Sibat Sujang, dan Albert Renggian Selang. — DayakDaily