Timbalan presiden PBDSB dan orang kuat Tiki Lafe berkempen untuk Mordi di Mas Gading

Chong (dua dari kiri) dan Mordi (dua dari kanan) memberikan baju PH-DAP kepada Rosaidi (kiri) dan Patrick (kanan) sempena Ceramah PH-DAP Mas Gading di Pekan Bau, baru-baru ini.

KUCHING, Mei 5: Kempen calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Mas Gading Mordi Bimol kelihatan semakin mantap apabila beliau turut dibantu timbalan presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Patrick Anek Uren dan Rosaidi Ugit, yang merupakan orang kuat bekas penyandang konstituensi itu, Datuk Tiki Lafe.

Justeru, Mordi menyifatkan sokongan yang diberikan kepadanya itu telah memberikan motivasi serta semangat juang yang tinggi untuk beliau menawan kerusi tradisi BN itu.

“Saya amat berterima kasih kepada Patrick dan Rosaidi kerana telah membantu dan menyertai saya dalam memberi ceramah di kampung-kampung,” katanya.


Antara program yang telah disertai Patrick dan Rosaidi adalah Ceramah Paktan Harapan-DAP Mas Gading di Pekan Bau, baru-baru ini yang turut dihadiri pengerusi DAP Sarawak yang juga pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen.

Malah dalam program tersebut, Chong telah memberikan baju PH-DAP kepada kedua-dua mereka sebagai tanda terima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Mordi dan PH di Mas Gading.

Mordi akan bertanding satu lawan satu dengan calon BN, Datuk Anthony Nogeh Gumbek yang juga penyandang kerusi Parlimen Mas Gading. — DayakDaily