10,436 anggota polis di Sarawak undi awal hari ini

Kelihatan anggota polis mengundi awal di IPK Sarawak.

KUCHING, Mei 5: Seramai 10,436 orang pegawai dan anggota polis serta pasangan masing-masing terlibat dalam proses mengundi awal di seluruh Sarawak hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua mereka mengundi awal di 53 pusat pengundian awal di negeri ini.

Katanya, proses pembuangan undi awal mula dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Kita difahamkan proses mengundi awal di seluruh negeri berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di IPK Sarawak hari ini.

Sementara itu, Mohd Dzuraidi berkata, seramai 844 pegawai dan anggota polis serta pasangan telah mengundi awal di Mes Pegawai IPK Sarawak di sini hari ini.


Proses pembuangan undi awal di dua saluran mengundi di situ adalah bagi kerusi Parlimen Petra Jaya.

Sementara itu, Polis Sarawak sudah menggerakkan anggotanya ke kawasan pedalaman bagi membantu melancarkan urusan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dianggarkan seramai 400 anggota polis akan digerakkan ke Baram, Kapit, Marudi, dan Belaga. — DayakDaily

Share this article!