‘Rakyat Sarawak tidak akan memberi peluang kepada parti pembangkang dari Semenanjung’

Datuk Peter Minos

KUCHING, Mei 5: Majoriti rakyat Sarawak kemungkinan tidak akan memberikan peluang kepada parti pembangkang dari Semenanjung iaitu Parti Tindakan Demoktratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendominasi politik negeri ini.

Penganalisa politik Datuk Peter Minos berkata antara sebab rakyat Sarawak tidak mahu memberikan peluang itu ialah parti dari Sarawak berupaya sepenuhnya menjaga negeri ini sejak 1963 dan tiada keperluan menukarkan dengan parti pembangkang dari Semenanjung.

“Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga berulang kali menyatakan yang PBB bersama rakannya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) ketika ini sudah cukup berkemampuan menjaga politik dan ekonomi Sarawak,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.


Minos berkata majoriti rakyat Sarawak juga tidak mahu parti dan ahli politik dari Semenanjung untuk menjadi ketua mereka dan mengarahkan mereka apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan di negeri sendiri.

Selain itu, negeri ini sedang dan akan terus dalam suasana aman dan stabil dari segi politik dibawah parti dari Sarawak dan tidak perlu parti pembangkang dari Semenanjung mengambil alih dan membawa politik kasar dari sana.

“Lihatkan betapa ganas dan kasarnya politik di sana (Semenanjung), semua perkara digunakan bagi berlawan mendapatkan kuasa politik sehingga masalah berhubung perkauman dan keagamaan timbul di Semenanjung,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui ketika ini ada segelintir rakyat Sarawak yang otak mereka seperti telah dipukau kalangan pemimpin parti dari Semenanjung dan menjadi suka didominasi dan dikawal pemimpin terbabit.

“Biarkan sahaja mereka suka cara begitu apapun sebabnya. Mereka yang segelintir terbabit mengelarnya sebagai hak mereka berdemokrasi, saya mengelarnya sebagai politik gila,” katanya dan menjelaskan hanya meluahkan perasaan majoriti rakyat Sarawak yang cintakan negeri ini dan Malaysia. — DayakDaily