Timbalan menteri: Jambatan Tondong kini dibuka, perjalanan ke Pekan Bau hanya 5 minit

Harry (tiga kanan) di Majlis 'Soft Launching' Jambatan Tondong yang seterusnya membuka jalan tersebut kepada pengguna.
Advertisement

By Chris Bishop

BAU, 10 Jan: Jambatan Tondong merentasi Sungai Sarawak Kanan yang menghubungkan kawasan Tondong dan Sebuku di Bau kini dibuka kepada pengguna jalanraya.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, jambatan tersebut dibina dengan kos RM10. 59 juta dan bakal memberi kemudahan serta pilihan kepada mereka yang ingin ke Pekan Bau.

Advertisement

“Apabila jambatan sudah siap, penduduk tanya bila boleh digunakan. Jadi, tiada alasan untuk kita tunggu lama-lama.

“Maka kita adakan ‘soft launching’ hari ini yang seterusnya membuka jambatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Henry berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis ‘Sof Launching’ Jambatan Konkrit Tondong – Sebuku di Balai Raya Tondong di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Tasik Biru memberitahu sebarang majlis rasmi bagi pembukaan jambatan tersebut nanti diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Lebih penting katanya, jambatan tersebut boleh digunakan dan tidak perlu menunggu untuk pembukaan rasmi.

Harry (dua kanan) berbincang dengan Jurutera Bahagian Kuching Liew Ming Chek pada lawatan ke Jambatan Tondong yang sudah siap sepenuhnya.

Terdahulu dalam ucapannya Henry berkata, Jambatan Tondong membantu memendekan jarak perjalanan dari Pekan Tondong ke Pekan Bau.

“Dengan siapnya jambatan ini, pergerakan kenderaan dari Tondong ke Pekan Bau atau sebaliknya hanya mengambil masa 5 minit sahaja.

“Ia memendekan tempoh perjalanan jika dibanding dengan pergerakan melalui Jalan Pan Borneo (menerusi Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh) yang mengambil masa 15 minit,” jelas Harry.

Sementara itu Harry memaklumkan bahwa JKR telah memohon peruntukan sebanyak RM25 juta bagi menaiktaraf jalan sepanjang 4 kilometer dari Jambatan Tondong ke Sebuku.

Menurut beliau, ia adalah melaksanakan kerja-kerja melebar dan meningkatkan paras jalan agar tidak menghadapi masalah banjir.

Jambatan Tondong sepanjang 120 meter dan 10 meter lebar mula dibina pada tahun 2019 tetapi gagal disiapkan mengikut jadual (2022) akibat masalah Covid-19 dan isu geologi. – DayakDaily

Advertisement