Tiga unit kedai tiga tingkat terbakar 80 peratus

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
Advertisement

BINTANGOR, Feb 18: Satu kes kebakaran melibatkan tiga unit kedai tiga tingkat berlaku di Jalan Teo Kui Ngo, Pekan Bintagor, awal pagi tadi.

Kejadian pada pukul 3.20 pagi itu telah mengakibatkan bangunan yang dimiliki Syarikat Soon Moh Hardware musnah terbakar kira-kira 80 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, PPgB Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 3.22 pagi.

Advertisement

Jelasnya, tujuh anggota bomba kemudian diarahkan ke tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei turut berada di lokasi sebagai pasukan bantuan.

“Operasi pemadaman kebakaran terpaksa menggunakan sokongan daripada air sumber terbuka memandangkan air dari pili bomba bertekanan rendah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Nicholas memberitahu, kejadian itu pada mulanya disedari oleh pekerja kedai perkakasan tersebut sebelum dia menghubungi pihak bomba.

Katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.19 pagi dengan punca serta jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement