Bomba bantu potong besi tercucuk pada tangan remaja lelaki

Keadaan besi yang tercucuk pada tapak tangan mangsa.

SONG, Feb 18: Seorang remaja lelaki berdepan detik-detik mencemaskan apabila tapak tangannya tercucuk dengan sebatang besi ketika dia menjalankan aktiviti menyelam menangkap ikan di sungai, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Steve Austen Richard, 17, mengalami kecederaan pada tapak tangan kirinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah malam.


Menurutnya, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Song bagi melakukan khidmat khas memotong besi yang tercucuk pada tapak tangan mangsa.

“Sebaik tiba di klinik, pasukan bomba mendapati besi itu masih tercucuk pada tapak tangan remaja tersebut.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat sebatang besi sepanjang kira-kira 0.6 meter dan bersaiz 4 milimeter tercucuk pada tapak tangan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, pihak bomba memotong besi tersebut dengan menggunakan ‘bolt cutter’.

Jelasnya, operasi memotong batang besi itu hanya mengambil masa dua minit.

“Sejurus mengeluarkan batang besi itu, pasukan perubatan kemudian memberikan rawatan lanjut kepada mangsa.

“Buat masa ini, keadaan remaja tersebut dilaporkan stabil,” ujarnya lagi. — DayakDaily