PBSM Daerah Kuching sasar kumpul dana sebanyak RM40,000

Abang Johari (tengah) memasukan derma sebagai simbolik pelancaran Hari Bendera PBSM Daerah Kuching.

KUCHING, Mac 13: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Kuching menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM40,000 sempena pelancaran Hari Bendera PBSM yang diadakan selama sebulan mulai hari ini hingga April 13 depan.

Naib pengerusinya Titus Chuo berharap, masyarakat umum dapat memberikan kerjasama dan memberikan sumbangan kepada persatuan itu memandangkan peruntukan sedia ada masih belum mencukupi.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah diberi penghormatan sebagai penyumbang pertama dana kepada persatuan tersebut sempena pelancaran Hari Bendera PBSM hari ini.


“Persatuan kami termasuk di peringkat sekolah turut akan mengadakan aktiviti yang sama di sekolah-sekolah dan beberapa pusat tumpuan orang awam sepanjang tempoh pelancaran tersebut,” katanya selepas mengetuai rombongan PBSM Daerah Kuching mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir sama ialah pengerusi PBSM Daerah Kuching Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zain dan naib pengerusi PBSM Daerah Kuching Dr Chou Chii Ming

Titus menambah, dana yang terkumpul kelak juga akan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti termasuk perkhidmatan kepada masyarakat dan latihan kepada ahli-ahli baru oleh persatuan tersebut. — DayakDaily