SRI AMAN, 11 Julai: Sebanyak tiga buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat di Punggu Tapang, Jalan Sri Aman-Serian dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran tersebut dilaporkan pada jam 3.57 petang dan anggota dari Balai Bomba Sri Aman terus ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi kejadian, pihak Bomba terus memadamkan kebakaran yang ketika itu telah memusnahkan ketiga-tiga rumah tersebut.
Bomba menghadapi kesukaran disebabkan tiada pili bomba berdekatan dan terpaksa mengepam air dari dalam parit.
Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada jam 7 malam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily