Sokongan kepada Muhyiddin, GPS utamakan kestabilan politik — Jaziri

Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian

KUCHING, 12 Julai: Perikatan Nasional (PN) Sarawak ucap terima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kekal menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, GPS ikhlas demi kestabilan politik serta usaha menangani pandemik Covid-19.

Kata Jaziri, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Pengerusi GPS memberi keutamaan kepada kepentingan serta kesihatan rakyat dan kini bukan masa untuk berpolitik.


“Saya juga bersetuju bahawa kini adalah masa untuk kita menyelamat serta membangunkan negara.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpolitik sehingga boleh mengganggu urusan pentadbiran yang kini cukup terbeban akibat pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jaziri, Pelan Pemulihan Negara adalah jalan keluar dari pandemik dan semua harus mengambil peranan di semua peringkat untuk memastikan ianya berjaya.

Katanya, semua Ahli Parlimen perlu berfikiran matang dan bersatu untuk membantu negara keluar dari krisis Covid-19.

“Jangan terperangkap dengan kerenah politik ketika ini yang hanya akan membuatkan rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik ini semakin marah.

“Oleh itu, keutamaan buat masa kini adalah memberi fokus kepada penyelesaian masalah yang dihadapi rakyat, serta membangunkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Tambah Jaziri, kepentingan dan kebajikan masyarakat yang semakin terhimpit akibat pandemik perlu diletakkan sebagai keutamaan.

Ini termasuk dalam soal program vaksinasi bagi membolehkan rakyat semua dapat kembali hidup seperti sediakala, kata Jaziri. — DayakDaily