Tiga remaja lakukan aksi ‘superman’ ditahan

Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.

KUCHING, 20 Feb: Seramai tiga remaja lelaki ditahan selepas dikatakan menunggang motosikal dengan merbahaya di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, di sini dalam Op Samseng Jalanan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 17, 18 dan 19 tahun dikatakan melakukan aksi ‘superman’ iaitu mengangkat kedua-dua kaki lurus ke belakang semasa menunggang motosikal.

Katanya, aksi tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri juga pengguna jalan raya yang lain.


Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sebanyak 72 buah kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut yang dijalankan dari jam 8 malam hingga 7 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 183 saman atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan.

Kata Ahsmon, saman dikenakan kerana tiada lesen memandu (16 saman), tiada nombor pendaftaran hadapan (28), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (15), tiada perlindungan insurans (12), tidak pamer cukai jalan (15), cukai jalan tamat tempoh (17), lampu brek tidak berfungsi (15), ubah suai ekzos (28), ubah suai struktur peralatan kenderaan (16), hon tidak berfungsi (tiga), tiada cermin sisi (15) dan brek tidak berfungsi dengan baik (tiga).

Tambahnya, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini. — DayakDaily